Imran 26 July 2010

Tuan Imran Azmi (foto), Pengurus PTS Islamika Sdn. Bhd. memberitahu bahawa beliau sedang mencari lebih banyak manuskrip genre novel tauhid, baik bagi bacaan remaja mahupun dewasa.

Pasaran novel genre ini masih Laut Biru, tetapi beliau yakin pasaran itu ada dan dapat diterokai dengan berkesan.

Menurut beliau lagi, bagi menghasilkan genre ini penulis tidak perlu menjadi seorang ustaz ataupun ustazah.

Suatu perjumpaan khas bagi menerangkan ciri-ciri novel tauhid yang dikehendaki oleh PTS Islamika akan diadakan.

Bagi tuan dan puan yang berminat menghasilkan karya dalam siri ini, mohon mendaftar di sini.

Tulis nama penuh, alamat emel dan nombor HP. Tarikh akan diberitahu kemudian.

 


Baca lagi
Imran 24 July 2010

Maria merupakan seorang gadis jerman bermazhab Katolik yang mengharungi liku-liku hidup sebagai anak kepada ibu yang fanatik pada mazhab itu, sedangkan ayahnya seorang ateis. Namun, kehendak Allah mengatasi segalanya. Pertemuan dengan pemuda Mesir membuka episod pergelutan tiga penjuru, Islam-Kristian-Ateis.

Kisah benar yang diangkat oleh seorang wanita Turki, Emine atau nama sebenarnya Aminah Uzqan ini mampu membuka lembaran baru dalam bidang terjemahan karya-karya Islam bagi santapan mata penggemar novel terjemahan di Malaysia.

"Apabila kita membawa masuk novel luar negara, bermakna kita membawa masuk budaya negara tersebut. Tambahan pula, sebelum ini novel terjemahan di Malaysia lebih banyak mengangkat karya dari barat. Ini bermakna kita membawa masuk budaya barat itu ke dalam budaya Malaysia.

"Dengan terhasilnya karya terjemahan Islam ini, kita sekaligus membawa masuk budaya Islam yang penuh dengan nilai bagi diserap oleh pembaca dan peminat novel terjemahan," kata Editor Senior PTS Islamika Sdn Bhd, Tuan Rohidzir Rais.

Menurut beliau, PTS Islamika Sdn Bhd cuba membuka ruang agar novel terjemahan dari Timur Tengah dapat bertapak di Malaysia seiring dengan novel terjemahan lain.

"Novel Islam dari luar ini juga boleh dijadikan panduan kepada penulis-penulis tempatan dalam menghasilkan novel Islam yang tinggi mutunya," tambah beliau lagi.

Novel Maria yang telah diterjemahkan oleh Tuan Mohd Rofizi Dollah ini mendapat sambutan yang hangat apabila diterjemahkan dan dicetak ke dalam bahasa Melayu.

Bagi Tuan Rofizi Dollah, Maria merupakan novel bercirikan sastera Islam garapan penulis terkemuka Turki yang dapat mengubat kealpaan umat Islam pada bahayanya ancaman ateis dan kristian. Novel ini juga menyelitkan episod cinta yang berlatar belakangkan Islam.

"Pada hemat saya , dengan berwahanakan sastera seperti ini merupakan salah satu jalan agi menyuburkan pohonan Islam yang hampir kering dan layu.

Sayangnya ramai yang meminggirkan lapangan ini daripada diterjemahkan ke dalam hidup mereka khususnya daripada kalangan cendiawan dan sasterawan Islam walaupun keberkesanannya terserlah," ucap beliau yang dipetik dari buku Maria.

Karya yang memberikan perbandingan agama yang cukup hebat ini mampu membuka pandangan baharu masyarakat tentang Islam apabila penulis menyelitkan fakta tentang kebenaran islam dalam penceritaannya.

Buku yang sudah berada di pasaran ini mampu menjadi pelengkap kepada karya-karya terjemahan di Malaysia dan menjadi percubaan berharga bagi novel-novel terjemahan Islam untuk bertapak di Malaysia.


Baca lagi
Imran 22 July 2010

Pada bulan November 2009, dunia dikejutkan dengan filem arahan Ronald Emmerich yang bertajuk 2012. Idea asal filem ini dipetik daripada kalendar kaum Maya yang mendakwa kitaran besar dunia tempoh ini akan berakhir pada tahun 2012 atau lebih tepat lagi pada 21 Disember 2012. 

Selain disokong oleh kalendar kaum Maya yang banyak didakwa berlaku secara 'kebetulan', mereka juga mendakwa pada 2012, sistem suria kita (Galaksi Bima Sakti) akan mengalami konfigurasi luar biasa, medan magnet bumi menjadi lemah dalam masa yang pantas, fenomena hubungan perubahan medan magnet bumi dan hubungan manusia berlaku dan lebih menarik lagi adalah perlanggaran planet Nibiru (Planet X) dengan bumi. Filem ini turut dibahas dan dikaji oleh ramai para intelek termasuk daripada NASA sendiri.

Muhammad Alexander atau lebih dikenali sebagai Pak Wisnu mengkaji peristiwa kiamat ini sebelum filem 2012 ini ditayangkan. Kajian ini dimuatkan di dalam buku Armageddon: 2012 yang membahas kekeliruan para intelek dalam menghasilkan filem 2012 serta membahas fenomena kiamat yang disebut di dalam al-Quran dan hadis secara kronologikal. 

"Armagedon: 2012 boleh menjadi sebuah buku yang diluar dari kotak pemikiran kita. Tulisan Pak Wisnu ada kelainannya yang tersendiri," kata Editor Senior PTS Islamika, Tuan Imran Azmi ketika mengulas buku terbaharu Pak Wisnu ini.

Menurut Tuan Imran, Pak Wisnu cuba menyedarkan masyarakat semasa supaya jangan mempercayai kiamat akan berlaku pada 2012. 

Lebih menarik apabila  Pak Wisnu mengkaji peristiwa kiamat ini menggunakan Al-Quran dan Hadis.

"Hasil daripada kajiannya, beliau mendapat keputusan yang kiamat akan berlaku pada bulan Ramadan tetapi tidak dinyatakan tahun kiamat tersebut," jelas Tuan Imran. 

Turut dimuatkan dalam buku Armagedon: 2012, gambar, carta dan hasil-hasil kajian mengenai kiamat yang dilakukan oleh para saintis. 

"Ini menjadikan buku Armagedon 2012 sebagai buku yang membahaskan tentang kiamat yang terlengkap, tersusun dan gambaran yang mudah difahami," kata beliau lagi.

Penulis melalui kajiannya memberikan kronologi satu persatu tanda-tanda kiamat dan bagaimana kiamat berlaku. 

Pak Wisnu mentafsirkan kiamat mengikut Al-Quran dan menterjemahkannya sehingga mudah difahami oleh semua golongan serta sesuai dengan sifat semasa.

Tuan Imran berkata, buku yang bakal berada di pasaran pada 1 Syahwal ini boleh dijadikan sebagai manual dan panduan dalam menghadapi kiamat.

"Nantikan kemunculan buku Armagedon: 2012 yang bakal menghempas di pasaran tidak lama lagi," kata Tuan Imran lagi. 

Penulis adalah pesyarah di Universiti Brawijaya, Indonesia. Beliau kini dalam proses mendapatkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sejarah dan Peradaban. Beliau banyak menghasilkan kajian mengenai Yakjuj & Makjuj, Zulqarnain dan hari kiamat. Antara buku bestseller beliau adalah Yakjuj & Makjuj: Bencana di Sebalik Gunung (2009) dan Alexander adalah Zulqarnain (2010).


Baca lagi
Buku Terkini