Bila Perlu Cakap, Bila Perlu Diam?

0
29

Ungkapan “lidah itu lebih tajam daripada pedang”, ataupun “lidah tidak bertulang” sering kita dengari dalam kehidupan kita. Daripada ungkapan-ungkapan ini, sudah jelas tugas lidah ataupun tutur kata amat besar dalam hidup manusia. Kesan terlanjur berbicara akan memberi impak yang besar kepada semua, maruah boleh tergadai dan kerana mulut juga badan menjadi binasa. Sebagai hamba Allah yang beriman, lidah yang dikurniakan untuk tidak berbicara sesuka hati dan sia-sia, lidah kita digunakan untuk mengeluarkan mutiara-mutiara yang berhimah. Persoalannya, situasi bagaimanakah kita perlu berbicara ataupun diam sahaja?

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Abu Hurairah melaporkan, Nabi Muhammad s.a.w. berkata, “Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat,maka hendaklah dia berkata baik ataupun diam.” (Hadith ini direkodkan oleh Imam Bukhari dalam Kitabnya Sahih Bukhari, bab iman, juz 16, nombor hadith 6475 dan statusnya sahih).

Dalam hadith ini jelas Nabi Muhammad s.a.w. menyeru kita untuk berbicara secara baik ataupun diam.

Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani, ulama Mazhab Syafie menjelaskan, “Hadith ini sebuah ucapan yang ringkas tetapi mempunyai makna yang padat. Semua perkataan boleh menjadi kebaikan, keburukan ataupun salah satu daripadanya. Perkataan baik tergolong dalam perkataan yang wajib ataupun sunnah untuk diucapkan. Perkataan yang baik ini diungkapkan dengan isi yang sesuai. Perkataan yang tidak termasuk dalam kategori tersebut bererti tergolong dalam perkataan yayng jelek ataupun membawa kepada keburukan. Oleh itu, orang yang terseret untuk menggeluarkan perkataan yang buruk hendaklah diam.” Jadi jelaslah, Imam Ibnu Hajar memberi panduan kepada kita supaya bercakap dalam situasi yang wajib ataupun sunah. Contohnya, apabila kita melihat kemungkaran yang dilakukan oleh sahabat kita seperti merokok, menipu dan sebagainya, kita sebagai seorang Muslim wajiblah menegur dan berbicara secara baik dengannya.

Imam An-Nawawi, seorang ulama besar Mazhab Syafie menyebutkan dalam Syarah Arbain bahawa Imam Syafie mengatakan,

“Jika seseorang hendak berbicara maka hendaklah dia berfikir terlebih dahulu. Jika dia merasa bahawa ucapan tersebut ada mudharat ataupun dia berasa ragu dengan ucapannya, maka hendaklah dia tahan jangan berbicara.”

Kata-kata Imam An-Nawawi ini memberi panduan kepada kita supaya berfikir dahulu sebelum kita berbicara. Contohnya, apabila kita hendak berbicara dalam sebuah majlis yang ramai orang, kita hendaklah berfikir dahulu ucapan yang baik untuk disampaikan, elakkan daripada mengumpat, mengeji, mencaci, memaki hamun ataupun mencarut apabila berucap. Kita lebih digalakkan untuk berdiam diri daripada menglafazkan kalam-kalam yang tidak elok.

Kesimpulannya, kita perlulah berbicara dengan baik dalam semua situasi, mengajak manusia kearah kebaikan dengan bicara yang baik. Jika bicara itu membawa kepada binasa lebih baik kita berdiam diri. Ucapan yang dilafazkan menunjukkan bagaimana diri kita, kesumpurnaan akhlak kita seperti teko ia mengeluarkan apa yang ada di dalamnya. Maka, ketika kita banyak berkata kotor, kita sebenarnya menjatuhkan kehormatan diri kita sendiri. Di sebalik sebuah ucapan itu tersimpan sebuah tanggungjawab yang besar yang akan dipersoalkan Allah di akhirat kelak. Oleh itu, kita haruslah berwaspada dalam setiap tutur kata. Berbicara dengan bahasa yang baik membuatkan pendengar berasa tenang dan selamat.

TINGGALKAN PESANAN

Please enter your comment!
Please enter your name here