Mengapa Rasulullah s.a.w. melarang Kita Mencelup Tangan ke Dalam Baldi Selepas Bangun Dari Tidur?

Berdasarkan kajian, purata tangan manusia mempunyai hampir 150 spesies bakteria dengan 80 peratus jangkitan penyakit tersebar melalui tangan yang kotor.

0
28

Berdasarkan kajian, purata tangan manusia mempunyai hampir 150 spesies bakteria dengan 80 peratus jangkitan penyakit tersebar melalui tangan yang kotor.
(Sumber, Utusan Malaysia Online)

Jika diperhatikan tabiat manusia hari ini selepas bangun dari tidur, mereka terus ke dapur dan membuka peti sejuk untuk mengambil air atau makanan. Tidak di nafikan bahawa meminum air selepas bangun dari tidur adalah baik untuk kesihatan, akan tetapi tangan yang tidak dibasuh setelah bangun dari tidur dan terus mencapai makanan itu dapat memudaratkan kesihatan diri dan orang lain.

Tabiat buruk yang sering di ambil mudah oleh kita hari ini adalah mencelup tangan dalam bekas air setelah bangun dari tidur, walaupun bekas air tersebut juga akan di gunakan oleh orang lain.

Nampak simple bukan?

Walhal kesannya cukup membahayakan kesihatan kita, Ini kerana tangan adalah  tempat membiaknya kuman. Lebih-lebih lagi ketika bangun dari tidur.

Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w. bersabda

“Jika salah seorang kalian bangun dari tidur, hendaklah dia membasuh kedua tangannya tiga kali sebelum memasukkan tangannya ke dalam bekas air, kerana dia tidak tahu di mana tangannya bermalam”.

(Hadith direkodkan oleh Imam Muslim, di dalam Sahih Muslim, Bab thoharah, Hadith no. 278)

Syarak menetapkan supaya jangan memasukkan tangan ke dalam bekas air/ bejana/ baldi sebelum dia membasuh kedua tangan sebanyak tiga kali. Ini harus kita ambil perhatian, khususnya apabila kita bangun dari tidur.

Di sini ada perselisihan Ulama. Adakah apabila bangun tidur secara umum atau mutlak dengan ertikata tidur siang atau malam kedua-duanya perlu basuh tangan, atau adakah ia khas buat bangun tidur waktu malam?

Pendapat yang paling kuat merupakan pendapat yang mengatakan bahawa wajib membasuh tangan setelah bangun daripada tidur pada waktu malam. Pertama, adalah pada lafaz Rasulullah “kerana dia tidak tahu di mana tangannya bermalam”. بَاتَتْ maknanya bermalam.

(Taisir al-‘Allam syarh ‘Umdatul Ahkam , m/s : 20)

Terdapat penemuan pakar perubatan yang mengatakan tangan merupakan tempat membiak kuman.

Kuman yang cepat membiak itu akan mendatangkan pelbagai penyakit yang memudaratkan, lebih-lebih lagi kepada kanak-kanak yang mana sistem imunisasi badan mereka yang masih lemah.

Kuman merupakan sesuatu yang tidak dapat dilihat akan tetapi membahayakan.

Antara penyakit yang mudah tersebar akibat kuman dari tangan yang tidak di basuh adalah,

  1. Cirit birit.
  2. Jangkitan saluran pernafasan

Jurnal yang dikeluarkan oleh US National Library of Medicine National Institutes of Health mengatakan bahawa najis daripada orang atau haiwan adalah merupakan sumber kuman seperti Salmonella, E. coli O157 dan norovirus yang menyebabkan cirit-birit, dan ia boleh merebak kepada jangkitan sistem pernafasan seperti penyakit adenovirus seperti penyakit tangan,kaki, dan mulut.

Kuman jenis ini boleh merebak ke tangan selepas orang tersebut menggunakan tandas atau menukar lampin seorang. Kuman juga boleh merebak tanpa di sedari seperti selepas mengendalikan daging mentah yang mempunyai jumlah tahi haiwan yang tidak kelihatan pada mereka.

Satu gram najis manusia yang beratnya adalah kira-kira berat klip kertas boleh mengandungi satu trilion kuman . Kuman boleh juga merebak ke tangan jika orang tersebut sentuh apa-apa objek yang mempunyai kuman di atasnya kerana seseorang yang batuk atau bersin atau telah disentuh oleh beberapa objek lain yang tercemar. Apabila kuman ini terdapat pada tangan dan tidak dibersihkan, ia boleh disebarkan dari seorang ke seorang dan menimbulkan penyakit yang berbahaya.

Jelas bahawa larangan Rasulullah s.a.w. supaya tidak mencelup tangan ke dalam bekas air, akan tetapi basuh dahulu tangan sebanyak 3 kali iaitu sehingga di yakini bersih. Ini kerana semasa kita tidur kita tidak sedar samaada tangan itu telah tersentuh najis atau kemaluan. Oleh kerana itu, ketika bangun dari tidur kita disuruh untuk mencuci tangan terlebih dahulu sebelum melakukan perkara lain. Jangan disebabkan kecuaian kita orang lain menderita.

Selamat beramal!

TINGGALKAN PESANAN

Please enter your comment!
Please enter your name here