Tukarkan Snek Ringan Kepada Snek Yang Lebih Sihat

Pasti Kesihatan Keluarga Anda Terjamin!

0
21

Apa itu snek?
Apabila kita menyebut perkataan “snek”, yang terzahir di minda kita sudah tentu sejenis makanan ringan yang lazat. Seperti keropok-keropok, kuih-muih, nuget, kentang goreng dan pelbagai makanan berproses yang lain. Betul kan? Snek menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, ialah makanan ringan yang selalunya di¬ambil dalam masa yang singkat.

Lazimnya makanan ini mengandungi perwarna dan perasa tiruan. Dalam erti kata lain snek ini mempunyai kuantiti garam dan gula yang tinggi. Makanan ini berisiko menyebabkan pelbagai penyakit jika diambil dalam kuantiti yang banyak dan secara kerap. Antaranya ialah obesiti, kegagalan buah pinggang, diabetis (kencing manis) dan hipertensi (tekanan darah tinggi).

Pilihlah snek yang sihat, bukan snek ringan.
Snek yang sihat akan mengurangkan rasa lapar dan mengenyangkan. Ia juga dapat membekalkan tenaga hingga tiba waktu makan utama. Manakala snek yang tidak sihat pula akan menyebabkan badan kita akan kerap merasa lapar. Sebab itu, adakalanya mulut kita akan rasa hendak sahaja mengunyah sesuatu. Pernah bukan?

Lima cadangan snek yang sihat dan mudah.
Berikut dicadangkan beberapa snek yang menyihatkan. Antaranya ialah:

1. Kekacang
Kacang merupakan makanan ringan yang sangat berkhasiat. Kekacang mengandungi pelbagai sumber nutrien yang boleh melawan penyakit. Kacang ini juga boleh meningkatkan fungsi otak dan juga boleh membantu menurunkan berat badan. Antaranya badam, pistasio, gajus, kacang soya, kacang walnut dan kacang kuda. Selepas ini anda boleh menonton televisyen bersama keluarga sambil mengunyah kacang!

2. Buah-buahan
Buah-buahan amat penting diambil oleh tubuh. Dengan mengambil snek ini, kita akan mendapat vitamin dan serat yang cukup yang diperlukan oleh badan. Buah juga mempunyai anti-oksidan yang dapat menjaga ketahanan fizikal badan. Antara manfaat buah ialah dapat mencegah penyakit jantung, kanser, hipertensi dan sebagainya. Buah-buahan yang lazat seperti oren, epal, beri, pisang, delima, avocado dan seumpamanya dapat dijadikan snek harian yang sihat.

3. Kurma dan Kismis
Umumnya kurma dan kismis merupakan makan sunah. Kedua jenis makanan ini dapat dijadikan snek yang sihat. Di samping itu juga, ianya dapat merangsang minda dan menguatkan memori. Kurma dan kismis sangat baik untuk jantung. Ia kaya dengan potassium yang membantu menurangkan risiko strok.

4. Coklat hitam
Siapa kata coklat menggemukan dan bahaya bagi kesihatan? Tanggapan itu salah. Sebenarnya tidak semua coklat tidak bagus untuk kesihatan. Untuk pengetahuan anda, coklat hitam adalah coklat paling terbaik. Coklat hitam diperbuat dari biji koko yang merupakan antioksidan yang terbaik di dunia. Coklat jenis ini juga dapat meningkatkan kadar peredaran darah di samping mengurangkan tekanan darah. Jadi, tukarlah kepada coklat hitam.

5. Yogurt
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, yogurt adalah bahan separa pejal yang disediakan melalui penapaian susu oleh bakteria. Biasanya ia ditambah perisa buah-buahan dan lain-lain. Banyak kebaikan yougurt seperti membantu system penghadaman. Yougurt juga mengandungi kalsium, Vitamin A, tiamina, niasin dan riboflavin yang membantu menguatkana tulang. Kajian terbaru yang dikeluarkan oleh International Journal of Obesity, yougurt dapat membantu mengurangkan berat badan disebabkan kandungan kalsiumnya. Untuk lebih sihat gunakan yogurt asli dan campurkan sendiri dengan buah-buahan pilihan. Sedap. Tak percaya cubalah!

Sebenarnya banyak banyak lagi makanan sihat lain yang boleh ditukarkan untuk menggantikan snek ringan anda dan keluarga. Ubahlah corak pemakanan anda kepada pemakanan yang sihat. Pasti kesihatan keluarga anda terjamin!

TINGGALKAN PESANAN

Please enter your comment!
Please enter your name here