Kelebihan Atau Amalan Khusus Dalam Bulan Rejab Berdasarkan Pendapat Para Ulama Yang Perlu Anda Tahu.

اللّهمّ بارك لنا في رجب و شعبان وبلّغنا رمضان "Ya Allah, berkatilah kami dalam bulan Rejab dan Syaaban, dan sampaikanlah (panjangkan umur) kami kepada Ramadhan."

0
28792

Masuk sahaja bulan Rejab, Nabi Muhammad s.a.w. anjurkan kita membaca doa tersebut. Alhamdulilah, ramai imam di masjid negara kita akan lafazkan doa tersebut selepas menunaikan solat. Doa ini menjadi amalan kita sepanjang bulan Rejab dan Syaaban.

Namun, ada antara lebih-lebih menghidupkan bulan ini dengan pelbagai amalan seperti puasa sunat bulan Rejab, solat sunat bulan Rejab dan sebagainya.

Menjadi persoalan kepada kita, adakah terdapat kelebihan atau amalan khusus dalam bulan Rejab?

Jawapannya:
Beberapa pendapat ulama berkaitan kelebihan bulan Rejab, antaranya:

1. Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani berkata dalam kitab Tabyin al-‘Ajab:

Tidak ada disebut di dalam hadith yang sahih akan kelebihan bulan Rejab, berpuasa padanya, berpuasa daripadanya disebabkan sesuatu perkara yang tertentu dan
solat yang khusus.

2. Imam Ibn Qayyim berkata dalam kitab al-Manar al-Munif:

Setiap hadith yang menyebut berkaitan puasa di bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu di dalam bulan tersebut adalah satu pendustaan yang direka.”

 

3. Imam Ibn Rejab berkata dalam kitab Faidh al-Qadhir:

“Tidak ada yang sahih pada kelebihan berpuasa di bulan Rejab yang khusus daripada Nabi Muhammad s.a.w. dan juga tidak ada yang khusus daripada sahabat baginda s.a.w.”

Pendapat dari Mufti Wilayah, SS Dato Dr Zulkifli al Bakri:

Setelah melihat dan menekuni pendapat ulama dalam masalah ini, tarjihnya ialah bulan Rejab tidak mempunyai apa-apa kelebihan yang khusus daripada hadith-hadith yang sahih seperti amal ibadat tertentu. Walaupun begitu, ini tidak menghalang seseorang itu untuk melaksanakan amalan seperti berpuasa, solat sunat, sedekah dan lain-lain.

Melalui pendapat ulama di atas kita memahami bahawa tiada kelebihan ataupun amalan khusus di bulan Rejab.

Akhir kalam, jom kita sama-sama siapkan diri untuk menghadapi bulan mulia iaitu Ramadhan, untuk menempuh bulan mulia itu, kita perlu menghadapi bulan Syaaban dan Rejab. Jadi, apa salahnya kita siapkan diri kita dari awal bulan Rejab agar Ramadhan kita lebih berkualiti. Persediaan yang awal pasti akan menghasilkan keputusan yang baik.

Jom terus beramal dan bersiap sedia.

 

INFO PEMBACA:

1. Imam Ibn Qayyim ialah seorang ulama Sunni dan tokoh ilmuan Islam terkenal.
2. Imam Ibn Rejab ialah seorang ulama Sunni beraliran Mazhab Hambali.
Artikel ini dirujuk dalam web Mufti Wilayah Persekutuan Malaysia.