Nama Yang Disukai Dan Dibenci Di Dalam Islam, Ibu Bapa Perlu Tahu!

Atas sebab inilah, Islam menggariskan beberapa panduan dalam memilih nama untuk si anak ini.

0
25

Mengikut adat semua manusia di atas bumi ini, apa yang dilakukan selepas anak dilahirkan adalah memilih nama yang sesuai sebagai identiti. Atas sebab inilah, Islam menggariskan beberapa panduan dalam memilih nama untuk si anak ini.

Kali ini mari kita lihat apakah nama yang dianjurkan dan nama yang perlu elakkan mengikut Dr. Abdullah Nasih Ulwan.

Memilih nama yang baik

Untuk memberi nama kepada si anak, ibu bapa haruslah memilih dan menamakan anak ini dengan nama-nama yang paling terindah. Di samping itu, dianjurkan juga memilih nama yang mengikut sunnah Rasulullah s.a.w..

Abu Darda’ r.a. melaporkan, Rasulullah s.a.w. berkata,
“Kamu akan dipanggil pada hari kiamat nanti dengan nama kamu, nama nenek moyang kamu.
Maka pilihlah nama-nama yang baik.”
(Hadith ini direkodkan oleh Imam Abu Daud di dalam Sunannya,
kitab Al-Adab, bab Taghyir Al-Asma’, no hadith 4948)

Ibnu Umar r.a. melaporkan bahawa Rasulullah s.a.w. berkata,
“Sesungguhnya nama yang paling disukai oleh Allah adalah Abdullah dan Abdul Rahman.”
(Hadith ini direkodkan oleh Imam Abu Daud di dalam Sunannya,
kitab Al-Adab, bab Taghyir Al-Asma’, no hadith 4948)

Nama yang menjatuhkan maruah

Sebagai ibu bapa, kita tidak seharusnya memberi nama kepada anak dengan nama yang boleh menjatuhkan maruah ataupun yang boleh menjadi bahan gurauan.

Ibnu Umar r.a., melaporkan,
“Umar mempunyai seorang anak perempuan bernama ‘Ashiah (pelaku maksiat),
lalu Rasulullah s.a.w. menamakannya dengan Jamilah (yang cantik).”
(Hadith ini direkodkan oleh Ibnu Majah dalam Sunannya, kitab Al-Adab, bab Taghyir Al-Asma’, no hadith 3733)

Imam Abu Daud melaporkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah menukar beberapa nama.
Antaranya adalah nama ‘Asyi (pelaku maksiat), ‘Atlah (kekerasan), Syaitan (Syaitan), Gharab (burung gagak), Habab (nama ular dan syaitan). Beliau juga pernah menggantikan nama Harban (perang)
kepada Salman (perdamaian), Al-Muttoji’ (yang berbaring) kepada Al-Munbaath (yang bangkit),
Bani Zinyah kepada Bani Risydah, dan Bani Mughwiyah kepada Bani Risydah.
(Hadith ini direkodkan oleh Imam Abu Daud dalam Sunannya, kitab Al-Adab,
bab Taghyir Al-Ismi Al-Qabiih, no hadith 4956)

Nama berunsur pesimis

Dalam memilih nama anak, ibu bapa tidak seharusnya memilih nama yang mengandungi unsur pesimis. Ini bagi menghindarkan anak daripada terkena musibah dan sifat-sifat yang buruk disebabkan oleh panggilan itu.

Said bin Musayyib, daripada ayahnya, daripada datuknya, beliau bertemu dengan Rasulullah s.a.w.,
lalu Rasulullah s.a.w. bertanya, “Siapakah nama kamu?” Beliau menjawab, “Al-Hazn (permukaan bumi yang kasar.” Lalu Baginda berkata, “Nama kamu adalah Sahl (permukaan bumi yang lembut).”
Kemudian beliau berkata, “aku tidak akan menukar nama yang telah diberikan oleh bapaku.”
Ibnu Musayyib kemudian berkata, “Kekerasan itu tetap berada pada kami (akibat nama datuknya).”
(Hadith ini direkodkan oleh Imam Bukhari dalam sahihnya, kitab Al-Adab, Bab Ismu Al-Huzn, no hadith 6190)

Yahya bin Said melaporkan bahawa Saidina Umar bin Al-Khattab r.a. berkata kepada seorang lelaki,
“Siapakah nama kamu?” Lelaki itu menjawab, “Jamrah (bara api).”
Umar bertanya lagi, “Anak siapa?” Dia menjawab, “Anak Syihab (tahi bintang)”.
Umar betanya lagi, “Dari siapa?” dia menjawab, “Hirqah (kebakaran)”.
Umar bertanya lagi, “Di mana rumah kamu?” dia menjawab, “Di kawasan berapi”.
Umar betanya, “Yang mana satu?” Dia menjawab, “Di tempat api menyala.”
Umar berkata, “Susulilah keluarga kamu kerana mereka sudah binasa dan terbakar.”
Lelaki itu mendapati apa yang dikatakan Umar adalah benar.
(Hadith ini direkodkan oleh Imam Malik di dalam Muwatta’, kitab Al-Isti’zan,
bab Ma Yakrahu Min Al-Asma’, no hadith 3570)

Nama khusus bagi Allah s.w.t.

Selain itu, ibu bapa haruslah mengetahui bahawa larangan memberi nama khusus bagi Allah s.w.t. Nama-nama ini adalah dilarang. Antaranya ialah, Al-Ahad, As-Somad, Al-Khaliq, Ar-Raziq dan selainnya.

Ketika Hani’ datang bersama kaumnya menziarahi Rasullah s.w.t.,
mereka memanggilnya dengan gelaran Abu Hakam. Maka Rasulullah s.a.w memanggilnya seraya berkata, “Sesungguhnya hanya Allah s.w.t sahaja Hakam (pembuat hukum), kepadanya kita berhukum, mengapa kamu dipanggil Abu Hakam?” Beliau menjawab, “Apabila kaumku berselisih pendapat dalam sesuatu perkara mereka datang kepadaku. Aku mengadili antara mereka dan kedua-dua belah pihak berpuas hati dengan keputusanku.” Rasulullah berkata, “Alangkah baiknya ini.” Rasulullah bertanya lagi, “adakah kamu mempunyai anak?” beliau berkata, “Aku mempunyai Syuraih, Muslim dan Abdullah.” Rasulullah bertanya lagi, “Siapakah yang paling besar?” Beliau berkata “Syuraih”. Rasulullah pun berkata, “Maka kamu adalah Abu Syuraih.”
(Hadith ini direkodkan oleh Imam Abu Daud dalam sunannya, kitab Al-Adab,
bab Taghyir Al-Ismi Al-Qabiih, no hadith 4955)

Abu Hurairah r.a. melaporkan bahawa Rasulullah s.a.w. berkata,
“Orang yang paling dimurkai dan paling jahat terhadap Allah pada hari kiamat adalah
orang yang dipanggil raja segala raja. Tidak ada raja selain Allah s.w.t..”
(Hadith ini direkodkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya, kitab Al-Adab,
bab Tahrim Al-Tasammi Bimaliki Al-Amlak, Wa Bimaliki Al-Muluk, no hadith 2143)

Nama berunsur optimis

Ibu bapa seharusnya menjauhi nama-nama yang memberi maksud keberkatan ataupun optimis. Kenapa? Ini supaya tidak berlaku sebarang kekeliruan semasa ketiadaan mereka dengan perkataan لا (tidak) seperti Aflah, Nafi’, Rabah dan Yasar.

Samurah bin Jundub r.a. melaporkan bahawa Rasulullah s.a.w. mengatakan,
“Terdapat empat perkataan yang disukai Allah, iaitu Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha illallah dan Allahu Akbar. Janganlah kamu menamakan anak kamu Yasar, Rabah, Najih dan Aflah. Dan pada ketika itu dia tiada. Kemudian dijawab, “Tidak. Ia hanya empat nama dan jangan kamu menambahnya.”
(Hadith direkodkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya, kitab Al-Adab,
Bab Karahah Al-Tasmiyah Bil Asma’ Al-Qabihah Wa Binaafi’in Wa Nahwihi, no hadith 2137)

Nama yang disembah selain Allah s.w.t.

Abdul U’zza, Abdul Ka’bah, Abdun Nabi, dan seumpamanya. Nama-nama ini harus dijauhi kerana nama ini merupakan nama yang disembah melainkan Allah. Oleh itu, nama-nama seperti ini haram secara mutlak.

Kata-kata Rasulullah s.w.t. dalam perang Hunain:

“Saya adalah nabi, aku tidak berdusta, saya adalah anak Abdul Muttalib”.

Nama berunsur godaan dan ghairah

Nama-nama yang berunsur godaan dan menghairahkan harus dielakkan. Contohnya seperti Huyam (cinta yang membara), Haifa’ (yang ramping), Nihad (yang montok buah dadanya), Miyadah (yang kuat bergoyang), Nariman (perkataan parsi yang bermaksud canti dan tinggi), Ghadah (yang lembut dan licin), Ahlam (mimpi) dan sebagainya.
Atas sebab ini, ilmu itu sangat penting. Ibu bapa seharusnya mempunya ilmu dan selalu bertanya kepada para ilmuan dan ulama. Panggilan nama mempengaruhi akhlak seseorang individu. Oleh itu, berilah nama yang baik kepada anak-anak kita.

Wallahua’lam.

Informasi pembaca:
Sumber artikel ini dipetik daripada buku Tarbiyatul Aulad Jilid 1 karangan Dr. Abdullah Nasih Ulwan.

TINGGALKAN PESANAN

Please enter your comment!
Please enter your name here